Home

Friday, March 21, 2014

Kereta mewah hilang di parkir

Kereta mewah hilang di parkir 
 Nissan GTR bernombor pendaftaran WWU 35 yang hilang.

BAHAU - Seorang peniaga kerugian RM400,000 apabila kereta jenis Nissan GTR miliknya hilang ketika di parkir di sebuah restoran dekat Taman ACBE di sini, malam kelmarin.

Peniaga berkenaan yang dikenali sebagai Koh, 38, berkata, sebelum kejadian sekitar jam 9.30 malam, dia datang ke restoran berkenaan untuk bertemu rakan-rakannya seperti kebiasaan dan parkir di bahagian tepi restoran.

Menurutnya, tiada yang pelik ketika dia sampai di restoran berkenaan susulan kereta tersebut dikunci dengan rapi dan kunci kenderaan berkenaan masih berada dalam poketnya sehingga kini.

"Sekitar jam 10 malam, saya keluar seketika di luar restoran untuk merokok bersama rakan, namun ketika itu kereta berkenaan masih ada dekat parkir lot restoran.

"Kemudian, semasa saya hendak pulang ke rumah, kira-kira jam 1.30 pagi, kereta saya sudah hilang. Memang pelik, puas saya cari di sekitar restoran,” katanya ketika ditemui, kelmarin.

Susulan kejadian itu, dia bersama rakannya yang juga seorang ahli majlis, Desmond Lee membuat laporan di Balai Polis Bahau.

Bagaimanapun, Koh berkata, selepas kejadian itu, dia singgah di rumah ibunya dekat sini dan menceritakan insiden tersebut kepada salah seorang pekerjanya yang kebetulan berada turut ada di situ.

"Pekerja saya maklumkan pada jam 3 pagi dia ternampak kereta saya memotongnya di jalan Kuala Pilah dengan begitu laju.

"Dia hanya beranggapan saya yang memandu berikutan saya kerap juga ke Seremban untuk berjumpa rakan-rakan,” katanya.

Koh berkata, dia baru menggunakan kereta itu sejak dua tahun lalu dengan nombor pendaftaran kenderaan, WWU 35.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hamzah Alias mengesahkan menerima laporan.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah seksyen 379 A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kereta terbabit diminta menghubungi balai polis terdekat,” katanya.

No comments:

Post a Comment