Thursday, March 20, 2014

Penerima BR1M serbu LHDN

 Penerima BR1M serbu LHDN  
Orang ramai berasak-asak untuk menaiki lif yang dikawal ketat warga kerja LHDN bagi mendapatkan surat kelulusan BR1M 3.0 di Kuala Terengganu, semalam
 
KUALA TERENGGANU – Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) cawangan Terengganu di Jalan Sultan Ismail, di sini kelmarin sesak dengan ribuan orang ramai yang membanjiri kawasan itu untuk mendapatkan surat kelulusan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, seawal jam 7 pagi, orang ramai yang datang dari pelbagai kawasan sudah mula menunggu kaunter mengeluarkan surat kelulusan BR1M dibuka.

Kehadiran orang ramai di luar jangkaan itu menyebabkan pengawal keselamatan bersama kakitangan LHDN dan polis bantuan terpaksa campur tangan mengawal keadaan bagi mengelak kejadian buruk.

Berikutan terpaksa bersesak antara satu sama lain di samping cuaca panas, dua warga emas yang datang untuk mendapatkan surat kelulusan itu juga hampir pengsan.

Mereka kemudian dibawa ke tempat lapang dan diberi bantuan.

Difahamkan, kaunter semakan beroperasi sejak Ahad lalu, namun situasi sukar dikawal berlaku bermula pada Selasa dengan kehadiran orang ramai di luar jangkaan.

Warga emas, Ngah Abdullah, 75, dari Kampung Banggol Tok Esah, Manir berkata, dia datang seawal jam 8.30 pagi untuk beratur bagi mendapatkan surat kelulusan BR1M.

“Ketika sampai tadi pakcik terkejut tengok begitu ramai orang dan kena beratur panjang, tetapi nasib baik ramai yang simpati kepada pakcik dan ada yang memberi laluan untuk pakcik berada di barisan hadapan.

“Kalau tidak diberi ruang tidak tahu lah macam mana keadaan pakcik dengan orang ramai berasak-asak macam ini,” jelasnya yang telah pun menerima surat kelulusan BR1M setelah lebih dua jam mengharungi lautan manusia di pejabat itu.

Seorang lagi penerima BR1M yang ditemui, Rosli Abdullah, 64, dari Kampung Atas Tol, Marang berkata, dia datang ke pejabat itu jam 10.30 pagi kerana pergi menjaja ikan terlebih dahulu.

“Tak sangka pula hari ini orang ramai, sudah hampir sejam beratur, barisan ini masih lagi tidak berganjak. Tidak tahu lah pukul berapa dapat masuk.

“Dulu surat BR1M diagihkan di pejabat Dun, tetapi sekarang kena mari ambil di sini, jadi susah lah sebab kena beratur dan berebut-rebut macam ini, kalau sihat tak mengapa, pakcik ni ada penyakit jantung, gout dan darah tinggi,” katanya.

Di negeri ini hanya tiga kaunter semakan sahaja dibuka selain Kuala Terengganu iaitu di cawangan Besut dan Kemaman menyebabkan orang ramai berpusu-pusu di pusat bandar Kuala Terengganu.

Dengan surat pengesahan itu, penerima BR1M dapat mengambil baucer pembayaran di tempat yang dinyatakan dalam surat berkenaan.

No comments:

Post a Comment