Monday, March 24, 2014

Warga asing kaut untung mudah


Warga asing kaut untung mudah  
Salah satu kedai warga asing yang beroperasi di sekitar kawasan ini.
 
SUNGAI BULOH - Lambakan kedai runcit di sekitar kawasan Kampung Baru Sungai Buloh yang dimonopoli warga asing menimbulkan rasa kurang senang penduduk tempatan di sini.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, kebanyakan kedai runcit itu diusahakan oleh warga asing bagi mendapatkan keuntungan dengan cara mudah.

Salah seorang penduduk, Kumaran Devan Marimuthoo, 33, berkata, kedai yang diusahakan warga asing ini sering dikunjungi pelanggan dari negara mereka sendiri.

“Kedai warga tempatan juga dah kurang dapat sambutan kerana kebanyakan warga asing akan pergi ke kedai ini.

"Barang yang dijual mereka juga biasanya jauh lebih murah berbanding di kedai orang kita," katanya.

Menurut Kumaran, walaupun harga diletakkan murah, tetapi kualiti barangan diragui.

Dalam pada itu, Lin Ah Lin, 62, berkata, pertambahan kedai runcit yang diusahakan warga asing ini perlu diberikan perhatian kerana ia memberi impak negatif kepada penduduk setempat.

“Mereka berniaga guna lesen peniaga tempatan dan ia menyebabkan pihak berkuasa susah nak ambil tindakan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Keamanan Kampung (JKKK) Baru Sungai Buloh, Hoo Sook Wan berkata, pihaknya juga percaya ada segelintir peniaga tempatan yang menyewakan kedai mereka kepada warga asing dalam diam.

Menurut Sook Wan, tindakan perlu diambil ke atas golongan ini kerana makin lama mereka dilihat makin melampau.

“Ada peniaga tempatan yang cuba ambil kesempatan dengan menyewakan kedai antara RM2,000 hingga RM5,000 mengikut keluasan,” katanya.

Tambahnya, Jabatan Imigresen dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) perlu menjalankan operasi secara bersepadu bagi membolehkan tindakan diambil bagi menghalang pertambahan gerai di sini.

"Dah banyak aduan dibuat, tapi tak ada perubahan.

“Kita tahu ada peniaga tempatan ambil sewa dari warga asing, tapi kami sedang kumpul bukti bagi membolehkan tindakan diambil,” katanya.

No comments:

Post a Comment